Assalamualikum WBT, hari ini aku terdetik dalam hatiku untuk
menulis. Ya, menulis. Bagiku, hanya menulis sahaja cara aku dapat luahkan semua
perasaan yang terbuku dalam benak pemikiranku. Ya, aku bukan lagi Rahil yang
dulu. Rahil yang suka memberontak dan Rahil yang tidak pernah hargai perit
jerih Umi dan Abah membesarkanku.
Aku secara rasmi tamat pengajianku di Kolej Islam
pada tanggal 15 Mac 2019. Kolej Islam yang dahulunya aku benci dan aku hina.
Ya, aku benci Kolej Islam dengan sepenuh hati dulu. Tapi kini, sesal
menyelubungi diriku. Kesal dan sedih. Kenapa? Di mana lagi aku dapat merasai
biah solehah dan punya rakan-rakan sebaik di situ lagi? Aku bersyukur dengan
segala halangan dan cabaran yang aku telah lalui suatu ketika dahulu di Kolej
Islam berakhir dengan kejayaan. Alhamdulillah, impian yang sering diidamkan
oleh semua pelajar Kolej Islam dapat ku kecapi. Tapi, bila difikirkan balik?
Layakkah aku untuk merasai nikmat kejayaan tersebut? Adakah ia hadiah dari
Allah atau ujian dariNya? Mungkin Istidraj dari Allah kepadaku untuk buatku
sedar akan nikmat yang telah Dia kurniakan kepadaku selama ini yang seringkali
aku abaikan.
Aku rindu semua sahabat-sahabatku yang Bersama-sama 2 tahun
berjuang bersamaku di Kolej Islam. Sahabat, yang sentiasa bersamaku di saat suka
dan duka terutamanya rakan-rakanku seperjuanganku dari 402 dan 507. Ya, aku akui
hidup di Kolej Islam sangat mencabar. Alhamdulillah, Fathul Abqori berjaya harungi
cabaran itu dengan penuh tabah.
Kini, semua itu telah hilang. Hilang sudah nikmat biah
solehah dalam hidupku. Hilang sudah tarbiah yang selama ini terasa berat bagiku
untuk dipraktikkan. Benarlah kata orang, suatu yang dibenci dahulu akhirnya
disayangi. Dalam tak sedar, sekejap sahaja aku habiskan sisa waktu remajaku di
bumi waqafan. Ya Allah, aku rindu sahabat-sahabatku dan para murabbi.
Aku harap hidupku di Kolej baru ini dapat menjadikan aku
lebih tabah. Keputusanku untuk masuk Kolej Mara Banting ini bukannya dimulakan
dengan Istikharah. Hanya didorong nafsu untuk menuntut ilmu di negara Eropah
sahaja supaya dapat dijaja kepada sanak saudara. Alahuakbar
Semester 1 bagi tahun 1, bagiku, agak sukar kerana, aku kurang
faham apa yang cuba disampaikan oleh para pensyarah. Normal mungkin bagi
pelajar biasa sepertiku yang sudah 7 bulan melupakan apa yang telah dipelajari
dulu. Ya aku tertekan. Tertekan kerana rakan-rakanku semua cemerlang dan
bijak-bijak belaka kecuali diriku yang kerdil ini. Hina. Ya, hina terasa diriku
banding rakan-rakanku yang lain.
Tapi hari ini, aku terasa sangat kecewa dan sedih. Roh melankolik kembali menyelubungi jiwaku. Aku murung. Ditakdirkan, aku
terjumpa blog seorang bekas pelajar terbaik Malaysia 2008 iaitu Nik Mardihah
yang merupakan Idolaku sejak kecil. Aku masih ingat tatkala umiku belikan buku perihal
beliau keadaku untuk dijadikan tauladan. Aku bersyukur kerana tulisan beliau
banyak melegakan hatiku yang gusar dan gundah gulana ini. Terima kasih ukti!
Bila direnungkan kembali, aku harap keputusanku untuk
menimba ilmu di bumi KMB ini adalah yang terbaik dan semoga dengan keputusan
ini, aku dapat menjadi seorang muslim yang lebih baik pada hari-hari yang
berikutnya
"Maka Ya Allah,
andai menuntut ilmu di perantauan itu adalah baik bagi diriku,
kau mudahkanlah aku untuk menuntut ilmu,
Ya Allah, aku harap mulai saat ini, aku dapat menjadi hamba
yang terbaik disisimu dan rela berkorban demi agama
Ya Allah, semoga ijtihadku dalam menuntu ilmu ini di
redhaimu ya allah."
No comments:
Post a Comment